http://www.english.hadhramaut.info Al-Habib Ahmad Masyhur al-Haddad [The Source: indo.hadhramaut.info - 19/8/2011]
Ulama Yang Berjasa Mengislamkan ratusan ribu penduduk di Afrika. beliau telah mengislamkan lebih dari 300,000 orang selama berdakwah di bumi Afrika Timur. Dan ada yang mengatakan bahwa beliau telah mengislamkan lebih dari 500, 000 orang. Allahu Allah. Siapakah beliau yang sangat berjasa kepada masyarakat Afrika Timur dalam menyebarkan risalah Islam ini? Tidak lain, tidak bukan, beliau adalah Baqiyyatus Salaf wa Sayyidul Khalaf, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad.

Silsilah Keturunan
Beliau adalah al-Habib Ahmad Masyhur bin Thaha bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin Thaha bin ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Abdullah bin Thaha bin ‘Umar (adik bungsu dari al-Imam ‘Abdullah al-Haddad) bin ‘Alwi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad bin ‘Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar bin Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdullah bin al-Faqih Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Alwi (Ammu al-Faqih) bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali bin ‘Alwi Khali’ Qasam bin Muhammad bin ‘Alwi bin Ubaidillah bin Sayyidina al-Muhajir ilaLlah Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Hussin al-Sibth bin ‘Ali suami Fathimah al-Zahra’ binti Muhammad Rasulullah SAW.

Beliau dilahirkan di kota Qaidun yang terletak di Wadi Dau’an, Hadhramaut Yaman sekitar tahun 1325 H / 1907 M, oleh ibunya, Hababah Shofiyyah binti Thohir bin Umar al-Haddad. Ayahanda beliau, Habib Thoha bin ‘Ali bin ‘Abdullah al-Haddad adalah seorang waliyUllah yang khumul dan mastur, yang menghabiskan sebahagian besar usianya di Indonesia. Menjelang penghujung usia, barulah beliau kembali ke Hadramaut dan wafat disana. ibu beliau, Hababah Shofiyyah adalah seorang ‘arifahbiLlah dan huffadz al-Quran.

Pendidikan
Al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mendapat pendidikan awal daripada ibunnya, Hababah Shofiyyah. Suatu ketika, tatkala al-Imam al-Habib Hasan al-Atthas (wafat 1334 H) berkunjung ke ribath Qaidun, Hababah Shofiyyah telah menyuruh anaknya, al-Habib Ahmad Masyhur yang ketika itu berusia sekitar 7 tahun, untuk melaksanakan sholat dibelakang al-Habib Ahmad bin Hasan bin Abdullah al-Atthas untuk mendapatkan keberkatan, kemudian al-Habib Ahmad bin Hasan al-‘Atthas membacakan al-Fatihah baginya.

Setelah itu al-Habib Ahmad Masyhur mendapat pendidikan di Ribath Qaidun dari dua ulama besar dari keluarga al-Haddad yang merupakan pendiri rubath tersebut yaitu Habib ‘Abdullah bin Thohir al-Haddad (wafat 1367 H) dan saudaranya Habib ‘Alwi bin Thohir al-Haddad (wafat 1382 H). Di bawah dua ulama ini, Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mendalami lagi pengetahuan agamanya dalam bidang fiqh, tauhid, tasawwuf, tafsir dan hadits. Dalam usia muda, beliau telah hafal al-Quran dan menguasai berbagai disiplin ilmu agama sehingga diberi kepercayaan untuk mengajar pula di rubath tersebut. Habib Ahmad yang tidak pernah jemu menuntut ilmu turut menangguk ilmu di Rubath Tarim dengan para ulama yang mengajar di sana, diantaranya al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri (wafat 1361 H), al-‘Allamah al-Habib ‘Abd al-Baari bin Syeikh al-Aidarus dan lainnya.

Tatkala usia Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad menginjak 20, beliau telah dibawa oleh gurunya Habib ‘Alwi bin Thohir al-Haddad ke Indonesia. Di sana selain berdakwah, beliau bertemu dan meneruskan pengajian dari kalangan Saadah ‘Alawiyyin di sana, antara lain al-Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhar (wafat 1344 H), al-‘Arifbillah al-Habib ‘Abdullah bin Muhsin al-Atthas (wafat 1351 H), Al-‘Allamah al-Habib ‘Alwi bin Muhammad bin Thohir al-Haddad (wafat 1373H), al-‘Allamah al-Mu’ammar al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Habsyi (wafat 1388 H) dan lainnya. Kemudian beliau pergi ke Mukalla (Ibu kota Provinsi Hadhramaut sekarang) untuk belajar kepada al-‘Arifbillah al-Habib Ahmad bin Muhsin al-Haddar. Beliau adalah salah satu guru yang banyak memberi kesan dari sudut rohani kepada al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad.

Berdakwah ke Afrika
Pertama kali al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mengembara ke Afrika Timur untuk berdakwah ialah pada tahun 1347H. Beliau memasuki walayah Zanzibar dan disambut dengan penuh penghormatan. Ketika itu di Zanzibar terdapat seorang ulama bernama al-Habib ‘Umar bin Ahmad bin Sumaith. Pada bulan Ramadhan, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad tinggal di Masjid Jami’ dan mengajar tafsir al-Quran, bermula dengan surah al-Faatihah. Selama 25 hari beliau membahas tentang firman Allah : ÅíÇß äÚÈÏ æÅíÇß äÓÊÚíä.

Pada tahun 1350/1 beliau kembali ke Afrika, dalam perjalanannya melaksanakan ibadah haji. Beliau memasuki pelabuhan utama Kenya, Mombasa. Sewaktu di Mombasa, beliau mendapat berita tentang al-Habib Sholih bin ‘Alwi Jamalullail (yang terkenal dengan sebutan Habib Swalleh Jamallely oleh masyarakat setempat) yang menetap di Lamu, Kenya. Beliaulah yang melaksanakan pembacaan Maulid Simtud Durar setiap tahun di Lamu, Kenya. Majlis maulid yang diselengara di di hadiri oleh masyarakat dari Malawi, Afrika Selatan, Mozambique, Pulau Komoro, Uganda, Somalia, Tanzania dan lain-lain. Hingga sekarang maulid Simtud duror masih dibaca setiap tahunnya untuk memperingati hari kelahiran nabi Muhammad SAW setiap bulan Rabi'ul Awal dan dihadiri oleh ribuan orang dari berbagai negara di Afrika.

Mendengar kehadiran al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad, Al-Habib Sholih Jamalulail mengutuskan anaknya ke palabuhan untuk menyambut al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad. Mereka bertemu dan bersama-sama menunaikan sholat dhuhur di Masjid al-Riyadh, Lamu. Sewaktu pertemuan ini al-Habib Sholeh bin ‘Alwi Jamalulail sudah berusia sekitar 80 tahun.

Beliau, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad menulis surat menceritakan keadaan di Afrika kepada guru beliau, al-Habib ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad di Indonesia. Beliau juga menceritakan pertemuan beliau dengan al-Habib Sholeh Jamalullail.

Setelah itu, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad kembali ke Kenya untuk meneruskan dakwah menyebarkan islam. beliau menetap di Mombasa, Kenya. Dan dari situlah beliau melancarkan dakwahnya ke seluruh pelosok benua Afrika.

Pada tahun 1375H (1955), beliau berhijrah ke Kampala, Uganda dan menetap di situ sekitar 13 tahun. Beliau mendapat bantuan dan bimbingan dari al-‘Arifbillah al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumaith yang menetap di Zanzibar. Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumaith sering menjunjungi al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad di Kenya. Dan pada tahun 1376 H, beliau menziarahi al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad di Kampala.

Habib Ahmad dengan sungguh-sungguh dan gigih memanfaatkan masa dan tenaga beliau untuk berdakwah menyeru umat kepada agama yang diridhai Allah walaupun beliau terpaksa meredah hutan dan merentasi gurun untuk sampai ke perkampungan-perkampungan di Afrika seperti kawasan daerah Aqzam, sebuah kawasan pedalaman yang terpencil di Conggo. Dan hasil dari kegigihan dan kesungguhan beliau berdakwah, sepanjang berada di bumi Afrika, ratusan ribu yang memeluk agama Islam ditangan beliau.

Di samping itu beliau turut mengorbankan harta bendanya untuk agama dengan membangun sejumlah masjid dan madrasah dalam rangka dakwahnya di sana. Untuk memudahkan usaha dakwahnya, beliau mempelajari bahasa Swahili yaitu bahasa yang digunakan oleh penduduk Timur Afrika. Dalam pergaulan sehari-hari, beliau mengunakan bahasa Swahili untuk berkomunikasi. Namun di majlis-majlis umum beliau mengunakan bahasa ‘Arab untuk menyampaikan ceramah. Ini adalah kerana bahasa ‘Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAWã. Hal ini beliau lakukan untuk menegaskan betapa penting dan mulianya bahasa ‘Arab. Pada tahun 1389 H, beliau kembali dari Uganda ke Kenya, dan kemudian menetap di sana dan setiap tahun mengerjakan ibadah haji dari Kenya.

Kepribadian
Beliau adalah orang yang sentiasa menjaga wirid harian dan sholat-sholat sunnah. Tidak pernah meninggalkan sholat malam walaupun beliau dalam musafir. kehidupan beliau mencontoh kehidupan kakeknya, Nabi Muhammad SAWã. Setiap gerak geri, tuturkata dan senyuman beliau menyegarkan ingatan kepada para pencintanya akan kehadiran Nabi SAW. Tiada yang melihat wajah beliau melainkan akan mengingat Allah. “Haibah” padanya menyebabkan orang yang melihat beliau menaruh hormat, namun kelembutan dan hormatnya pada semua orang, melembutkan hati mereka yang hadir di majlis beliau, Mereka akan terlupa segala masalahnya. Beliau menghabiskan usianya dengan beribadah dan berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah. Beliau seorang yang sedikit berbicara dan banyak berfikir. Tawanya hanyalah berupa senyuman. Beliau berbicara mengikuti tingkat pemahaman seseorang. Beliau berusaha keras untuk bisa duduk bersama mereka yang dhaif, sakit, miskin dan sengsara.

Karya
Biarpun sibuk dengan berdakwah dan mengajar, beliau menulis sejumlah buku-buku agama antara lain :

1- Miftahul Jannah (merupakan kitab beliau yang paling masyhur. Telah diterjemahkan oleh murid beliau, Syeikh Musthafa Hasan al-Badawi ke dalam bahasa Ingeris dan tersebar luas di Eropa. Juga diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia)
2- Majmu` Fatawa;
3- Syarh Nadzam Sa`id bin Nabhan;
4- Ad-Durratun Nafi`ah;
5- As-Sabhatuts Tsamina
6- Al-Maslak al-Faa`ih fi Ahkam ash-Shoid wa adz-Dzabaa`ih
7- Risalah fi Tadwin as-Sunnah an-Nabawiyyah

Di samping itu, beliau turut meninggalkan beberapa rangkaian ucapan sholawat yang indah dan penuh asrar dan keberkatan. Antara sholawat gubahan beliau adalah satu sholawat yang menyebut penciptaan Nabi SAW dari Nur Ilahi yang artinya:

Wahai Allah, Tuhan sumber cahaya alam semesta
Limpahkan sholawat atas Junjungan yang Engkau cipta
Dari nur milikMu ciptaan indah tiada tara
Dan ampunilah aku serta sinarilah hatiku yang alpa
Dengan makrifatMu terang bercahaya
Juga dengan makrifatnya akan diriMu yang Maha Mulia
Atas keluarga serta sahabat baginda limpahkanlah sama Limpahan sholawat dan salam sejahtera

Wafat
Pada penghujung hayatnya, beliau sering bolak balik dari Afrika ke Makkah dan Madinah. Tatkala usia beliau semakin lanjut, beliau memilih untuk menetap di Jeddah bersama ahli keluarga beliau. Pada hari Rabu, 14 Rajab 1416 H / 6 Disember 1995 M, di Jeddah dalam usia hampir 90 tahun, beliau kembali kerahmatullah. Jenazah beliau disholatkan di Jeddad dengan imam shalat Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (al-Marhum) dengan kehadiran alHabib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf (al-Marhum).

Jenazah beliau yang mulia kemudian dibawa ke Makkah dan disholati lagi di hadapan Ka’bah al-Musyarrafah sebelum dimakamkan di Hauthah Saadah al-‘Alawiyyin di Jannatul Ma’la.