Nama lengkapnya adalah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal ‘Abidin al-’Aidrus, selanjutnya disingkat dengan Sayyid Muhammad al-’Aidrus saja. Nama gelar adalah Tokku Tuan Besar. Sayyid Muhammad al-’Aidrus lahir pada 21 Rojab 1209 H/12 Februari 1795 M dan wafat pada malam Senin, 17 Muharam 1295 H 21 Januari 1878 M. Ada yang menulis bahawa ayah Sayyid Zainal ‘Abidin al-’Aidrus bernama Sayyid Syeikh bin Sayyid Mustafa al-’Aidrus.
Berdasarkan catatan Kadi Haji Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, dikatakan bahawa ayah Sayyid Zainal ‘Abidin al-’Aidrus bernama Sayyid Husein bin Sayyid Mustafa al-’Aidrus. Maklumat ini sama dengan yang ditulis oleh Sayyid ‘Abdur Rahman di Kuala Terengganu (Sabtu 12 Jamadilakhir 1411H/29 Disember 1990).
Dapat disimpulkan bahawa kakek Sayyid Muhammad al-’Aidrus adalah sayyid Mustafa al-’Aidrus yang makamnyanya terletak di Cabang Tiga, Kuala Terengganu tertanggal 1207 H/1792 M. Beliau digelar Tok Ku Makam Lama. Mulai dari sini hingga kepada beberapa tapisan, keturunannya menjadi tokoh-tokoh besar dan penyebar-penyebar Islam yang terkenal di Terengganu khususnya dan pantai timur Semenanjung umumnya.
Oleh sebab sayyid Muhammad al-’Aidrus adalah cicit sayyid Mustafa al-’Aidrus maka Tok Ku Paloh (sayyid ‘Abdul Rahman al-’Aidrus) adalah termasuk salah seorang keturunan ulama keturunan Nabi Muhammad s.a.w.. Tok Ku Paloh lahir pada tahun 1233 H/1818 M atau riwayat lain menyebut lahir 1236 H/1820 M, wafat Zulhijjah 1335 H/September 1917 M.
Datuk Misbaha dalam Pesaka, cetakan pertama 1983 halaman. 87, menjelaskan sayyid Muhammad al-’Aidrus sebagai ‘Pelopor dan Bapak Kesusasteraan Melayu Terengganu’.
Pendidikan
Ketika masih kecil sayyid Muhammad al-’Aidrus mendapat pendidikan keluarga sendiri, kemudian melanjutkan pendidikan pondok dari Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdur Rahim Bukit Bayas yaitu seorang ulama besar yang berasal dari Patani.
Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah dengan Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Syeikh ‘Abdul Qadir al-Fathani, Bukit Bayas dan Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.
Keduanya ada hubungan kekeluargaan yang rapat. Walaupun Syeikh ‘Abdul Qadir al-Fathani, Bukit Bayas dari segi nasab pangkatnya merupakan ayah saudara tetapi dari segi keilmuan beliau adalah murid Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Bersama saat berada di Terengganu maupun setelah di Mekah, sayyid Muhammad al-’Aidrus bersahabat karib dengan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Pusin yang berasal dari Kemaman, Terengganu.
Beliau kemudian muncul sebagai ulama yang banyak menyalin pelbagai kitab karya-karya ulama dunia Melayu.
Selain belajar daridua ulama yang berasal dari Patani di atas, manuskrip karya sayyid Muhammad al-’Aidrus menyebut, beliau pernah belajar dari sayyid ‘Abdullah bin ‘Umar bin Yahya. sayyid Muhammad al-’Aidrus menyebut ulama ini sebagai, “persandaranku dan guruku” Manuskrip tersebut menjelaskan sanad ilmu secara lengkap bahawa guru beliau, sayyid ‘Abdullah bin ‘Umar bin Yahya, belajar dari sayyid Thahir bin Husein. Beliau belajar dari sayyid ‘Umar bin Saqaf. Beliau belajar dari sayyid Hasan bin ‘Abdullah.
Beliau belajar dari ayahnya Quthbur Rasyad sayyid ‘Abdullah al-Haddad. Beliau belajar dari sayyid ‘Umar bin ‘Abdur Rahman. Beliau belajar dari sayyid Husein. Beliau belajar dari sayyid Abi Bakar. Beliau belajar dari sayyid ‘Umar bin Muhammad Ba Syaiban. Beliau belajar dari sayyid ‘Abdur Rahman bin ‘Ali. Kemudian belajar dari al-Quthub al-’Aidrus sayyid ‘Abdullah. Beliau berguru dengan ayahnya sayyid Abi Bakar as-Sakran. Beliau belajar dari ayahnya sayyid ‘Abdur Rahman as-Saqaf. Beliau belajar dari ayahnya sayyid Muhammad Maula ad-Dawilah. Beliau belajar dari ayahnya sayyid Syeikh ‘Ali. Beliau berguru dengan ayahnya sayyid ‘Alawi. Beliau belajar dari ayahnya sayyid al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali.
Beliau belajar dari ayahnya sayyid ‘Ali. Beliau berguru dengan ayahnya sayyid Muhammad Shahib Mirbat. Beliau belajar dari ayahnya sayyid ‘Ali Khala’ Qasam. Beliau belajar dari ayahnya sayyidi ‘Alawi. Beliau belajar dari ayahnya sayyid Muhammad. Beliau belajar dari ayahnya sayyid ‘Alawi. Beliau berguru dengan ayahnya sayyid ‘Ubaidilah. Beliau belajar dari ayahnya sayyid Muhammad al-Muhajir. Beliau belajar dari sayyid Muhammad an-Naqib. Beliau belajar dari ayahnya sayyid ‘Ali ar-Ridha. Beliau belajar kepada ayahnya sayyid Imam Ja’far as-Shadiq.
Beliau belajar dari ayahnya sayyid Imam al-Baqir. Beliau berguru dengan ayahnya sayyid ‘Ali Zainal ‘Abidin.
Beliau belajar dengan ayahnya sayyid Husein cucu Rasulullah s.a.w.. Beliau belajar dari ayahnya sayyidina ‘Ali ibnu Abi Thalib. Beliau belajar dari Nabi Muhammad s.a.w..
Dari sanad penerimaan ilmu sayyid Muhammad al-’Aidrus itu, jelas beliau lebih mengutamakan ilmu yang berasal dari keluarga ‘sayyid'. Barangkali sangat banyak ilmu pengetahuan yang beliau terima dari ulama-ulama keturunan Rasulullah dan ulama dunia Melayu terutama yang berasal dari Patani, seperti Syeikh ‘Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas yang telah disebutkan. Oleh sebab itu beliau menjadi ulama besar Terengganu pada zamannya.
Selain giat mengajar di surau yang dibinanya di Cabang Tiga, Terengganu, beliau juga adalah Syaikhul Ulama yang diberi gelaran Paduka Raja Indera pada zaman pemerintahan Sultan Umar (1839-1876 M).
Mengenai sanad membaca Shalawat Dalail al-Khairat, beliau menulis: “Maka lagi akan berkata seorang faqir ila rahmatil Rabbil Ghani al-Quddus, as-sayyid Muhammad ibnu Zainal ‘Abidin al-’Aidrus, sesungguhnya telah aku baca akan kitab Dalail al-Khairat serta beberapa orang dari kami bagi yang menuntut akan keridloan Allah dan Rasul-Nya, termasuk dari mereka adalah Ahmad putra ‘Abdul Halim. Kemudian dari membaca maka menuntut ia dari aku akan ijazah untuk membacanya. Maka aku ijazahkanlah kepadanya seperti orang yang memberi ijazah kepadaku dengan yang demikian itu oleh guruku yang terlalu alim, yaitu Syeikh ‘Abdul Baqi bin almarhum Muhammad Shalih Syi’ab, orang negeri Madinah, dari kaum Anshari.”
Mengambil ilmu dari gurunya yang alim lagi ‘Allamah, lagi Wali, dengan tiada bantahan, yaitu sayyid ‘Ali bin ‘Abdul Barri al-Wafa-i, yang Hasan bangsanya dan Syafi’ie mazhabnya.
Ia mengambil dari gurunya yang alim lagi ‘Allamah Maulana as-sayyid Muhammad Murtadha, yang Hanafi Mazhabnya, Zabid negerinya, Husein bangsanya.
Ia mengambil dari gurunya Imam Muhyuddin Nurul Haq bin‘Abdullah, yang Hasan bangsanya.
Ia mengambil dari gurunya as-sayyid Sa’adud Din bin Muhammad.
Ia mengambil dari gurunya as-sayyid al-Mu’ammar ‘Abdus Syukur yang Husein bangsanya.
Ia mengambil dari gurunya, yang mengarang ia akan selawat tersebut, yaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman, al-
Jazuli negerinya, Hasan bangsanya. Maka jadilah antaraku dan antara yang memiliki karangan, yaitu Muhammad ibnu Sulaiman yang tersebut itu enam keturunan.
Karya Beliau
Karya-karya sayyid Muhammad al-’Aidrus yang terkenal adalah:
1. Kanzul Ula
2. Jauharus Saniyah;
3. ‘Uqudu Durrataini fi Tarjamati Kalimataisy Syahadataini;
4. Tuhfatul Wildan;
5. Mukhtashar;
6. Siratun Nabawiyah;
7. Sullamut Taufiq;
8. Targhibus Shibyan;
9. Ahaditsun Nabawiyah mimma Yata’allaqu bil ‘Imamatil ‘Arabiyah. Saya mempunyai manuskrip kitab ini, yang dinyatakan ia selesai penulisan, “pada hari Selasa yang kedua puluh (tak dapat dibaca) pada tahun 1267, sanah 1267 H (1851 M);
10. Salasilah Ratib al-Haddad diselesaikan pada 25 Ramadan 1267 H/24 Julai 1851 M;
11. Kaifiyat ‘Amal Ratib al-Haddad diselesaikan pada 26 Ramadan 1267 H/25 Julai 1851 M.